CLICK HERE

Wednesday 17 August 2011

Salam Nuzul Al-Quran


Umpama Utrujjah dan kurma

Daripada Abi Musa Al-Asy’ari, beliau berkata, Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “Perumpamaan orang Mukmin yang membaca al-Quran adalah seperti al-utrujjah,rasanya enak baunya harum. Manakala perumpamaan orang Mukmin yang tidak membaca al-Quran adalah seperti buah kurma, meskipun rasanya sedap tetapi tiada baunya.” (Riwayat al-Bukhari)
Dalam hadis ini, terdapat dua bidalan dan perumpamaan yang boleh dijadikan renungan kepada orang yang mencari hidayah dan petunjuk Allah SWT. Bidalan-bidalan tersebut ialah :
Orang Mukmin yang membaca al-Quran dan beramal dengan isi kandungannya. Orang Mukin yang tidak membaca al-Quran tetapi beriman dengan isi kandungannya. Nabi Muhammad SAW mengumpamakan golongan yang pertama iaitu orang Mukmin yang membaca al-Quran dan beramal dengan isi kandungannya sebagai al-utrujjah, iaitu sejenis buah limau yang mempunyai bau yang wangi dan sedap, di samping rasanya yang enak. Hal ini menunjukkan bahawa golongan Mukmin tersebut adalah terdiri daripada mereka yang telah sampai kepada tahap kesempurnaan dalam keimanan mereka yang luhur dan murni kepada Allah SWT sama ada dari sudut zahir mahupun batin. (Lihat Min Kunuz al-Sunnah, oleh Muhammad Ali as-Sabuni,hlm 71)
Menurut al-Mubarakfuri dalam Tuhfat al-Ahwazi, golongan Mukmin yang membaca al-Quran diumpamakan sebagai al-utrujjah kerana buah ini adalah buah yang terbaik, selain memiliki saiz yang besar, mempunyai rupa yang cantik serta mempunyai rasa yang enak. Kelazatannya boleh dirasai walaupun belum menjamahnya. (Lihat Tuhfat al-Ahwazi, 8/138-139)
Begitulah cantik dan indahnya mereka yang berdampingan dengan al-Quran sehingga diibaratkan dengan buah yang enak dan lazat serta mempunyai bau yang amat menyelerakan yang menjadi idaman setiap manusia.
Manakala golongan yang kedua pula iaitu orang Mukmin yang tidak membaca al-Quran tetapi beriman dengan isi kandungannya, Nabi SAW telah mengumpamakan mereka dengan buah kurma,yang mempunyai rasa yang enak tetapi tidak mempunyai bau. Seharusnya diketahui bahawa bau terhadap sesuatu makanan adalah pembuka selera kepada makanan tersebut. Seterusnya hal ini menunjukkan golongan Mukmin ini adalah terdiri daripada mereka yang suci batinnya kerana penuh dengan keimanan laksana kurma yang sedap,namun pada zahirnya tidak sedemikian kerana mereka tidak membaca ayat-ayat Allah SWT, laksana kurma yang tidak mempunyai bau. (Lihat al-Sabuni, Min Kunuz al-Sunnah, hlm. 71)

Penggunaan bidalan dan perumpamaan dalam hadis di atas amat berkesan sekali kepada mereka yang mendengarnya kerana ia dapat memberikan gambaran yang amat menarik tentang kedudukan orang Mukmin. Perumpamaan dan kiasan dalam hadis ini telah dapat memaparkan keimanan secara zahir dan batin yang sememangnya sukar dikenal pasti. Keimanan tersebut telah dijelaskan dengan baik sekali apabila ia telah diumpamakan dengan sesuatu perkara yang sudah jelas dalam kalangan masyarakat Arab iaitu sejenis buah-buahan yang terdiri daripada utrujjah(sejenis limau) dan kurma.
Mengikut bidalan dan kiasan yang terdapat dalam hadis ini, menunjukkan bahawa betapa pentingnya membaca al-Quran kerana fadhilat dan ganjarannya amat besar sekali. Oleh itu, semua umat Islam hendaklah beristiqamah dalam membaca, menghayati serta beramal dengan isi kandungan al-Quran agar hati-hati mereka sentiasa disinari cahaya taufik dan hidayah Allah SWT. 
p/s: jomlah kte sme2 memperbnykkan bacaan Quran di bibir dan hati saat ayat-ayatNya masih lagi tidak terpadam dari hidup kte...jgn lpe hayati dan amalkan b'sama2..insyaAllah,kemuliaan Al-Quran dan diri kte akan t'pelihara..waAllahu'alam;)

No comments:

Post a Comment